01 November 2012

RinDu...

 

Bila rindu tiba
Hati mula berkata
Sekian lamanya
Tak bertemu dia
Hatiku bertanya
Apakah khabarnya
Kudoa sentiasa
Dia bahagia


Gelojak rindu tiba- tiba menerpa. Hadirnya bukan dipaksa- paksa. Apatah lagi dipinta. Namun hati ini menerimanya dengan rela. Rindu itu tanda cinta. Rindu itu tanda setia. Rindu itu juga anugerah dari-Nya. Biarpun terkadang terseksa menanggung rasa yang menyesak dada..dibiarkan jua.

Demikianlah antara bait- bait rindu yang bisa diterjemah dari jiwa- jiwa yang kerinduan. Mengikut tafsiran kamus dewan, kalimah rindu membawa erti berkeinginan benar akan sesuatu atau berkeinginan benar hendak berjumpa seseorang. Jadi bukanlah manusia saja yang boleh kita rindukan. Rindukan kedamaian, rindukan ketenangan, rindukan kesejahteraan, rindukan kebahagian, rindukan kebenaran, kejujuran dan keikhlasan, rindukan keredhaan Tuhan, rindukan masyarakat aman dan sejahtera, rindukan keampunan Tuhan dan sebagainya lagi. Oh, contoh- contoh itu dari lagu Rindu Hijjaz sebenarnya.

Kali ini mari bicara berkenaan rindukan sesama manusia. Bagaimana hendak mengurus rindu? Adakah dengan menangis, termenung atau tersenyum? Mungkin ada yang mencari jalan menghubungi insan yang dirindui itu, menelefon, menghantar sms, memberi emel atau datang menziarahinya. Bagaimana kiranya semua itu tidak dapat dilakukan? Adakah perlu menjerit di luar tingkap atau di atas bangunan dengan melaungkan 'aku rindu padamu'? Lucu bukan. Tidak mustahil juga ada orang yang sanggup tidur sepanjang hari mengharapkan dapat bermimpi orang yang dirindukan itu. Gila. Atau apa saja sebenarnya sanggup dilakukan untuk melepaskan rasa rindu itu.

Teringat saya akan satu pesan bermakna oleh seorang guru di Intec suatu ketika dahulu. Beliau mengajarkan cara mengurus rindu yang terbaik saya kira. Lumrahnya bila berjauhan, pasti rasa rindu akan hadir. Bukan saja pada keluarga, guru- guru juga tidak dilupa. Sekiranya yang dirindukan itu keluarga, kebiasaannya mudah kita menghubungi mereka. Namun guru- guru sering kali kita terputus hubungan bukan?

Jadi, guru saya itu menyampaikan sesuatu yang pernah diajarkan oleh gurunya. Apabila teringatkan guru, sampaikan rindu itu melalui perantaraan Allah iaitu dengan menyedekahkan al- Fatihah kepada guru terbabit. InsyaAllah, guru itu juga akan teringat akan anak didiknya itu dan seterusnya insyaAllah mereka akan mendoakan kita. Begitulah juga, cara ini boleh diaplikasikan untuk sesiapa saja. Tatkala rindukan ayah bonda, sanak- saudara, jiran tetangga atau teman di desa, sampaikanlah al- Fatihah kepada mereka disamping mendoakan kebahagian mereka. Indah bukan?

Juga sebenarnya saya percayakan kuasa gelombang. Gelombang yang bergetar membawa khabaran rindu dari hati ke hati biarpun berjuta batu nautika jarak antara keduanya. Sering saja bila saya menyampaikan rasa rindu yang teramat sangat kepada orang di sana melalui perantara sms misalnya, balasan yang diterima biasanya si dia juga sedang sangat mengingati diri saya pada waktu itu. Saya yakin gelombang rindu yang saya sampaikan itu lebih dulu tiba dari sms yang diterima. Atau mungkin juga rasa rindu yang saya rasa itu hasil dari gelombang rindu yang disampaikan oleh orang di sana itu. Subhanallah. Menarik bukan?

Bila rindu- rinduan itu, sampaikanlah rasa rindu melalui pelbagai mendium yang tersedia selagi hayat masih ada. Pasti gembira hati sesiapa saja yang mengetahui bahawa kita merindui mereka. Andai tidak mampu atau berhalangan, sedekahkan al- Fatihah kepada mereka. Jangan lupa, berusaha juga untuk menyampaikan gelombang rindu itu! Tarik nafas dalam- dalam, hembuskan perlahan kemudian arahkan gelombang rindu kepada yang sepatutnya dalam keadaan fokus dan bertenang. Hihi. Sebenarnya saya pun tak pernah buat begini. Just act neutral..

Akhir kata, saya sedang merindukan ramai orang sekarang ini. Ada sesiapa terima gelombang? ^_^

1 comment:

  1. Kita3x!!
    kita dapat gelombang tu..
    kite hembuskan balik kat k.maya.. hehe

    ReplyDelete


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...